Terima Kasih!

23 Apr

Salam para pelajar semua!

Saya minta maaf kerana kiriman ini sudah melebihi tempohnya. Saya terlalu sibuk dengan peperiksaan yang harus diselesaikan dahulu.

Di sini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada awak semua kerana telah mengikuti bengkel muzik tradisional Melayu ini dengan penuh semangat dan keinginan untuk belajar. Saya, Cikgu Faisal, dan semua dari Gendang Akustika, sangat bangga dengan pencapaian awak semua sewaktu persembahan pada 4th April. Syabas!

Saya harap ini bukan kali yang terakhir yang saya dan rakan-rakan daripada Gendang Akustika akan berjumpa dengan awak semua! Saya harap awak akan terus belajar dan menimba ilmu mengenai muzik tradisional Melayu di masa lapang awak. Ingat lagu kita, “Carilah ilmu bersama ceburi, janganlah jadi insan yang rugi!”

Blog ini akan saya terus kekalkan untuk arkib dan juga untuk terus berkongsi informasi tentang muzik tradisional Melayu atau kegiatan/persembahan budaya Melayu yang akan datang di masa hadapan. Ini akan saya golongkan di dalam kategori KEGIATAN. Harap awak semua akan terus melayari blog ini dan berkongsi tentangnya dengan kawan-kawan awak. Dipersilakan juga komen-komen/perbincangan supaya kita dapat mengongsi ilmu dan pendapat antara satu sama lain. Terima kasih.

Dengan ini, salam sayang dari Cikgu Syafiqah. Semoga awak terus berjaya dalam apa jua yang dilakukan.

Sesi Bengkel Keempat – Berkolaborasi dengan Para Pemuzik

1 Apr

Maaf terlambat kerana ada masalah teknikal sedikit dari pihak saya!

Bagi sesi keempat, awak semua telah berupaya berkolaborasi dengan para pemuzik tradisional Melayu untuk memainkan lagu joget yang telah digubah.
Lagu joget ini akan saya namakan Joget Pelita Hati.

Klik di sini untuk mendengar nyanyian lagu ini dengan lebih jelas

Berikut pula adalah video lagu Zapin Bunga Hutan yang dipetik dari filem klasik Bawang Putih Bawang Merah.

Ini pula adalah video rakaman semasa awak menyanyikan kedua-dua lagu ini. Jangan bimbang, video ini unlisted jadi hanya awak yang tahu pautannya yang dapat melihat video ini di YouTube:

Saya harap awak dapat hafal lirik untuk kedua-dua lagu! Cuba ingat kembali pergerakan yang dilakukan semasa mempersembahkan kedua-dua lagu (pergerakan zapin, box-step).

Sila klik di sini untuk melihat gambar-gambar dari sesi bengkel yang terakhir.

Jumpa lagi hari Rabu yang akan datang ini. :)

PENGUMUMAN (20/3/12)

20 Mac

Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang telah melakukan tugas-tugasan yang berikut:

TUGASAN 1: MENULIS REFLEKSI TENTANG LAGU TRADISIONAL KEGEMARAN KAMU
Saya telah memberi komen tentang refleksi awak, jadi harap baca dan maklum ya! Ada beberapa lagi refleksi yang diberikan lewat dan belum dapatkan balasan komen daripada saya, harap nantikannya.

TUGASAN 2: MENULIS PANTUN NASIHAT
Saya masih lagi menunggukan pantun-pantun awak, hanya 16 pelajar sahaja yang memberikan pantun-pantun mereka setakat ini.

Nota: Untuk mencari komen awak, gunakan CTRL+F (atau CMD+F untuk pengguna Mac) dan taipkan nama awak, supaya awak tidak perlu skroll lama sangat ke bawah untuk mencarinya.

Saya telah membuat kiriman yang terbaru, iaitu mengenai Sesi Bengkel Kedua, di mana awak boleh melihat gambar-gambar yang dipetik pada hari itu. Awak boleh skroll ke bawah atau klik di sini untuk membacanya!

Pada Sesi Bengkel Ketiga (hari Rabu ini), saya akan memberi suatu kuiz di mana sesiapa yang dapat jawab dengan betul akan mendapat cenderahati. Saya harap awak semua dapat bersiap sedia untuk menjawab soalan-soalan saya. Kuiz secara lisan ini adalah mengenai lima rentak asas muzik tradisional Melayu: mengenalpasti rentak daripada lagu, membunyikan rentak dengan menggunakan anggota badan, dan mengenalpasti lagu (tajuk dan rentaknya) dan tidak lupa juga mengenai pantun: struktur pantun.

Esok kita akan mempelajari cara-cara untuk menggubah lagu kita sendiri. Kita akan gabungkan melodi yang direka dengan pantun-pantun awak yang telah saya pilih dan sunting. Kalau berjalan lancar, esok juga awak akan dapat menyaksikan alat-alat muzik rebana dan accordion dimainkan secara langsung. Pastinya seronok!

Saya tidak sabar untuk bertemu dengan awak semua esok! :D

Sesi Bengkel Kedua – Mempelajari Tentang Pantun (7/3/12)

20 Mac

Pada Sesi Bengkel Kedua (7/3/12), kita telah mengulas kembali tentang lima rentak asas muzik tradisional Melayu, iaitu inang, masri, zapin, joget dan asli. Kita telah mempelajari bagaimana hendak mengenali dan meniru rentak-rentak ini dengan menggunakan anggota-anggota badan kita, atau apa yang dipanggil “body percussions”.

Kita juga telah mempelajari tentang pantun: tujuan dan asal-usulnya, bentuk/struktur pantun, dan juga cara-cara untuk membina pantun. Di akhir sesi ini kita juga telah cuba membuat pantun secara berkumpulan.

Berikut adalah beberapa gambar yang dipetik semasa sesi ini:

Klik di sini untuk melihat semua gambar-gambar ini di Photobucket

Jangan segan silu untuk tinggalkan komen tentang pendapat awak mengenai sesi bengkel kedua ini! :D

PENGUMUMAN (9/3/12)

9 Mac

Kamu dikehendaki melakukan DUA TUGASAN selewat-lewatnya pada hari Rabu (Tugasan 2) dan Jumaat (Tugasan 1) minggu hadapan. Lihat kiriman/pautan di bawah ini.

TUGASAN 1: MENULIS REFLEKSI TENTANG LAGU TRADISIONAL KEGEMARAN KAMU

TUGASAN 2: MENULIS PANTUN NASIHAT

Jikalau ada apa-apa soalan, sila tinggalkan soalan anda di dalam komen di bawah dan saya akan menjawabnya. Terima kasih!

Tugasan 2: Menulis Pantun

9 Mac

Setiap seorang dikehendaki menulis serangkap pantun yang bertemakan nasihat.

Jikalau mampu, awak boleh tulis lebih daripada satu rangkap pantun.

Cikgu Syafiqah akan memilih beberapa rangkap pantun yang terbaik yang ditulis oleh awak semua untuk dijadikan lirik lagu.

Taipkan pantun kamu di dalam kotak komen di bawah, bersertakan nama kamu.

Lakukan tugasan ini selewat-lewatnya pada 14hb Mac, hari Jumaat.

Berikut adalah beberapa rangkap pantun nasihat untuk dicontohi:

 Pakai baju warna biru
Pergi ke sekolah pukul satu
Murid sentiasa hormatkan guru
Kerana guru pembekal ilmu

Jangan pergi mandi di lombong
Emak dan kakak sedang mencuci
Jangan suka bercakap bohong
Semua kawan akan membenci

Baik-baik mengirai padi
Takut mercik ke muka orang
Biar pandai menjaga diri
Takut nanti diejek orang

Rusa betina berbelang kaki
Mati terkena jerat sembat
Orang yang muda kita sanjungi
Orang yang tua kita hormat

Selamat mencuba!

Tugasan 1: Menulis Refleksi

7 Mac

Cari dan dengarkan satu lagu tradisional Melayu yang kamu suka (berdasarkan rentak asli, inang, zapin, joget atau masri). Lagunya harus berlainan daripada contoh-contoh yang diberi di dalam blog. Berikan tajuk dan rentaknya (dan juga pautan kepada video/lagu itu) dan tuliskan refleksi mengenai lagu tersebut berdasarkan soalan-soalan di bawah ini. (Had perkataan: 70 – 100)

• Apa yang membuat kamu tertarik dengan lagu ini?
• Jika lagunya dinyanyikan, siapakah penyanyinya dan apakah maksud liriknya?
• Jika lagunya instrumental, alat muzik apakah yang dapat didengari?
• Apa perasaan kamu apabila mendengarkan lagu ini?

Lakukan tugasan ini selewat-lewatnya pada 16hb Mac, hari Rabu.


Lagu tradisional kegemaran Cikgu Syafiqah

Tajuk lagu: Hari Ribut
Rentak: Zapin

Saya gemar mendengar lagu ini kerana lenggok melodinya yang sangat menarik. Lagu yang berentak zapin ini amat rancak dan membuat saya seperti mahu menari. Saya amat senang sekali mendengar lagu ini, terutama sekali apabila mendengar gesekan violin yang begitu manis pada pendengaran saya. Tidak siapa yang tahu penyanyi asal lagu ini kerana ia merupakan lagu tradisional. Di dalam video ini pula, lagunya dinyanyi dan dimainkan oleh “Pak Ngah & The Group”. Lirik lagunya adalah dalam bentuk pantun yang menasihati kita supaya bersopan santun dan berbudi. Tajuk “Hari Ribut” diambil daripada kata pembayang pantun.

Kumpulan yang memainkan lagu ini menarik kerana menyertakan alat-alat muzik India (tabla) dan Cina (erhu). Persembahan ini telah diadakan di London sempena Minggu Malaysia pada tahun 2008. Lihatkah kamu betapa seronoknya orang asing menari pada muzik tradisional Melayu ini? :)

Tahukah anda?
Pemain accordion di dalam video ini adalah Pak Ngah, atau namanya yang sebenar, Suhaimi Mohd Zain. Dia adalah seorang penggubah muzik yang telah menggubah lagu-lagu tradisional moden seperti “Cindai” yang dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza.

Jadi sekarang giliran awak pula: Lagu tradisional Melayu apakah yang menjadi kegemaran awak?

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.